Saturday, March 6, 2010

Perkongsian Artikel - Motivasi: Terus Menjadi Hebat?

Assalammualaikum

Saya ingin berkongsi artikel menarik dari web Langit Ilahi yang diberi tajuk "Terus Menjadi Hebat?" . Saya tersentuh hati dengan artikel ini kerana memberikan inspirasi dan dorongan kepada saya.

Motivasi: Terus Menjadi Hebat?

“Ana dah ikut dah step-step dia, tetapi kenapa tak berjaya?”

“Saya dah usaha untuk contohi dia, tapi saya masih macam dahulu”

Kita merungut apabila kita lihat, kita tidak berjaya mencontohi seseorang yang cemerlang dalam medan kehidupan. Akhirnya, kita disapa rasa lemah dan berputus asa. Kita rasa diri kita memang ditakdirkan untuk tidak cemerlang dan tidak mampu melakukan apa-apa.

Sedangkan, kita baru sahaja hendak mencontohinya. Dia memakan masa setahun untuk cemerlang, kita hendak cemerlang sepertinya dalam masa sebulan sahaja. Kejayaannya memakan masa 10 tahun, kita hendak cemerlang sepertinya dalam masa setahun sahaja.

Sememangnya bila kita tidak berjaya, kita akan rasa kecewa.

Sebab di dalam dunia ini, memang tiada manusia yang akan terus menjadi hebat.


Kejayaan perlukan usaha, usaha perlukan masa

Kita melihat penulis hebat seperti A. Samad Said dan kita ingin mencontohinya. Kita pun berusaha pergi ke bengkel-bengkel untuk mencari tips penulisan agar kita mampu cemerlang sepertinya.

Selepas usaha kita itu, kita pun menulis satu karya, dan meminta rakan kita membacanya. Rakan memberikan komentar: “Apa kau tulis macam budak tadika ini?”

Kita terus rasa lemah. Kita rasa bahawa, kita memang tidak akan mampu berjaya. Usahalah banyak mana pun, kita rasa kita tidak akan sesekali mengucup kecemerlangan.

Di sini masalah kita. Kita hanya faham bahawa kejayaan perlukan usaha.

Tetapi kita terlpa bahawa usaha memerlukan masa.

Sekali gagal, 10 kali dikritik, bukanya petanda bahawa kita akan tewas selama-lamanya. Hakikatnya, kegagalan, kritikan, hinaan dalam perjalanan ke arah kecemerlangan adalah ujian daripada Allah SWT untuk melihat kesungguhan kita.

Malah, itu adalah latihan berharga daripada Allah, agar kita belajar dari pengalaman hidup.

Tiada manusia terus berjaya, terus hebat. Semuanya mengalami ujian dan halangan, kadangkala beberapa kejatuhan, sebelum dia berjaya seperti apa yang kita lihat dia berjaya hari ini.


Usaha itu, berkali-kali

Rasulullah SAW tidak berdakwah sekali sahaja kepada seorang yang tertentu. Baginda berdakwah berkali-kali kepada manusia yang sama. Sebagai contoh, kepala-kepala musyrikin Makkah. Baginda tidak pernah bosan, tidak pernah rasa kecewa dengan hinaan dan seksaan mereka.

Hari pertama baginda memulakan dakwah secara terang, baginda mengumpulkan semua ahli Makkah di buki Safa. Baginda menjerit bertanya akan kepercayaan mereka kepada baginda. Mereka semua menyatakan bahawa mereka akan mempercayai baginda. Maka baginda menyeru kepada mereka supaya beriman kepada tuhan yang satu.

Ketika itu Abu Lahab berteriak: “Celakalah tangan Muhammad. Adakah kau mengumpulan kami hanya kerana ini?”

Dan seruannya itu tidak diendahkan.

Adakah baginda berhenti dari dakwahnya dan berkata: “Aku sudah ada wahyu dari langit, mereka masih tidak menerima. Nampaknya, aku ini memang akan gagal memperbaiki ummatku”

Begitukah?

Tidak. Baginda terus berusaha, dengan pelbagai lagi teknik dan cara, dengan pelbagai uslub dan pengajaran, dan akhirnya selepas 13 tahun, baginda berjaya membina satu negara sendiri di bawah bendera Islam, dan 10 tahun selepas itu, seluruh kaum Musyrikin Makkah, beriman kepada Allah SWT dalam peristiwa Fathu Makkah.

Siapa kata gagal itu, adalah kegagalan?

Gagal itu adalah pengajaran.

Apakah gagal yang sebenar?

Berputus asa. Itulah kegagalan yang sebenar.


Penutup: Teruskan usaha. Itu sendiri satu kehebatan.

Kesilapan kita dalam mencontohi seseorang, adalah kita berhajatkan diri kita benar-benar menjadi seperti orang itu. Sedangkan, kita dengan dia adalah dua manusia yang berbeza. Kita tidak pernah boleh menjadi seperti seseorang.

Bila kita mencontohi, kita sebenarnya mengekstrak apa yang ada pada dia, dan menjalankannya pada tubuh kita. Maka adalah perkara yang biasa sekiranya kejayaan yang dia capai, kita capai lebih lewat. Hal ini kerana, kita bukan dia.

Dan adalah luar biasa, lagi mengkagumkan, jika perkara yang dia berjaya capai, kita capai dengan lebih awal. Saya kata luar biasa lagi mengkagumkan, namun perkara ini bukannya mustahil. Ini terjadi kepada Dr Zakir Naikk yang berjaya melakukan sesuatu yang lebih hebat dari Ahmad Deedat Rahimahullah hanya dalammasa 4 tahun. Almarhum Ahmad Deedat sendiri berkata:

“Kau telah berjaya mencapai apa yang aku usahakan dalam 40 tahun ini, dengan hanya 4 tahun”

Tetapi pokokya kembali kepada usaha yang tidak kenal putus asa.

Dengan terus berusaha, usaha, usaha dan usaha, itu sendiri adalah satu kehebatan sebenarnya.

Apakah Nabi Saleh adalah seorang yang gagal apabila seluruh kaumnya diazab? Apakah Nabi Lut adalah seorang yang gagal apabila seluruh kaumnya diterbalikkan? Apakah Nabi Nuh seorang yang gagal apabila hanya 83 orang dari kaumnya yang terselamat? Apakah Nabi Yahya adalah seorang yang gagal apabila akhirnya kepalanya dipenggal?

Sesekali tidak. Bahkan mereka adalah manusia yang hebat yang pernah berjalan di atas muka bumi ini, kerana kegigihan usaha mereka yang tidak kenal lelah dan putus asa.

Bagaimana pula dengan kamu, wahai manusia yang ingin menjadikan dirinya hebat?



0 comments:

Post a Comment